Produk
Takaful tepati kehendak syariah
Musibah
boleh menimpa kita tanpa mengira darjat, pangkat, umur, bangsa dan warna kulit.
Malah yang lebih malang, kaum keluarga kita sendiri seperti anak dan isteri
kita akan turut sama menanggung penderitaan. Oleh kerana itu timbulnya satu
keperluan memiliki perlindungan takaful sebagai satu langkah bijak menguruskan
kehidupan agar tercapai bahagia di dunia dan di akhirat.
Sistem
takaful ialah satu sistem yang berteraskan kepada prinsip-prinsip syariah yang
menjamin prinsip 'ketelusan dan keadilan'. Ia bagi memastikan semua pihak yang
berurusan tidak merasa tertindas sebagaimana firman Allah SWT dalam surah
al-Nahl, ayat 90 yang bermaksud:
Sesungguhnya
Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum
kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan.
Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.
Prinsip
utama dalam takaful adalah semua pihak yang menyertai kontrak ini dapat merasa manfaat
dan tidak terasa sebarang keraguan atau rasa tertipu, seperti membayar sesuatu
dengan harga yang mahal tetapi tidak mendapat barang yang dikehendaki, atau pun
barang itu hanya dijanjikan jika berlaku sesuatu musibah ke atas diri atau
hartanya.
Sehubungan
itu, kontrak takaful adalah berasaskan kepada tabarru' (derma) dan taawun
(tolong menolong), di mana semua peserta yang memilih atau menyertai pelan
takaful bersetuju untuk saling tolong menolong, jamin menjamin antara mereka
ketika ditimpa musibah atau kemalangan. Maksudnya, semua peserta menyumbang
dengan ikhlas untuk saling membantu antara mereka jika ditimpa musibah. Dengan
konsep tabarru' dan taawun ini, maka akan terhapuslah sikap
keakuan, iaitu saya beli polisi ini untuk diri saya dan bukan untuk orang lain.
Kedua-dua konsep ini menyemarakkan rasa kasih sayang sesama saudara ketika
mereka mengalami kesusahan atau penderitaan.